top of page

Allahyarham Mejar Zainal bin Ab Rashid (ketika itu berpangkat kapten) sebagai Ketua Kompeni A, mengetuai dan mendahului satu rondaan bersama empat anggota. Semasa dalam perjalanan, mereka ternampak sekumpulan musuh sedang menuruni permatang. Setelah membuat perkiraan keadaan dan  rancangan, Mej Zainal mengatur kedudukan untuk bertindak. 

 

 

Beliau dan anggotanya terus menyerbu ke arah musuh. Serangan pertama Mej Zainal telah berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis. Dalam kejadian tembak menembak yang berterusan, beliau sekali lagi berjaya membunuh seorang pengganas komunis wanita yang cuba melontar bom tangan ke arahnya. Malangnya dalam masa yang sama bom tangan yang dipegang oleh pengganas komunis wanita itu turut meletup dan mengorbankan Mej Zainal. Kumpulan ini kemudiannya berjaya membunuh seorang pengganas komunis yang cuba mengambil senjata dan peralatan kawan-kawannya. Seorang lagi pengganas komunis berjaya ditembak oleh Prebet Ariffin. Satu demi satu musuh negara telah kecundang pada tangan wira-wira negara ini.

 

Seramai enam pengganas komunis berjaya dibunuh manakala beberapa lagi disahkan mengalami kecederaan parah berdasarkan kepada kesan-kesan darah yang ditinggalkan. Kekuatan musuh dianggarkan seramai 20 hingga 25 orang. Allahyarham Mej Zainal telah meninggalkan bakti jasa yang amat tinggi dan murni. Pemergiannya tidak akan kembali lagi tetapi telah memberi semangat baru serta kesinambungan semangat juang kepada mereka yang masih meneruskan perjuangan ini.

 

Atas keberanian beliau, Allahyarham Mej Zainal dianugerahkan pingat keberanian tertinggi negara, 'Seri Pahlawan Gagah Perkasa' (SP) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan dinaikkan ke pangkat Mejar. 

 

PENERIMA PINGAT PAHLAWAN KEDAH

 

PW II OTHMAN BIN TAJIB. Sewaktu satu seksyen dari Platun 6 Kompeni B diketuai oleh PW II Othman bin Tajib membuat rondaan, mereka telah ditembak oleh sentri musuh. Tembakan tersebut mengakibatkan kecederaan pada kaki kiri PW II Othman. Walaupun tercedera, PW II Othman terus mengambil tindakan balas hingga berlaku tembak menembak selama 15 minit. Dalam kejadian itu, seksyen yang diketuainya telah berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Setelah dibuat penggeledahan, terdapat kesan-kesan darah yang membuktikan bahawa ramai lagi PGK tercedera. Peristiwa ini berlaku di Kawasan Weng, Kedah pada 13 September 1976.

 

PBT SHARIF BIN SHAMSUDDIN. Ketika Pbt Sharif bin Shamsuddin ditugaskan sebagai sentri, beliau ternampak pohon-pohon bergoyang di hadapan di jarak kurang 30 meter. Kerana mencurigai sesuatu, beliau merangkak ke hadapan sambil mengambil perlindungan untuk memastikan pergerakan tersebut. Lebih kurang di jarak 20 meter, beliau dapat melihat dengan jelas seorang PGK Wanita. Dengan kedudukan yang selesa, beliau melepaskan tembakan dan membunuh pengganas berkenaan. Kejadian berlaku di Hutan Simpan Ulu Muda, Weng, Kedah pada 24 September 1976.

 

PBT RAMLI BIN RAZAK. Pada 19 April 1978 ketika Pbt Ramli bin Razak dari Platun 8 Kompeni C ditugaskan sebagai sentri, beliau ternampak seorang pengganas sedang melangkah sebatang pokok balak yang tumbang di hadapan pos sentri. Beliau mengambil perlindungan dan apabila musuh berada kira-kira 25 meter daripada kedudukannya, beliau melepaskan tembakan dan berjaya membunuh pengganas tersebut. Kejadian berlaku di kawasan Karak, Pahang dalam 'OP KELONG IV'.

 

WIRA PASUKAN
Statistik

    Hari ini                           :     07

    Minggu ini                     :    25

    Bulan ini                        :     32

    Jumlah Keseluruhan    :    1143

 

Bermula pada 17 Feb 2014

bottom of page