top of page

Batalion KeTujuh Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan di bawah 'Op PEMBENA' di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1970. Semasa penubuhannya di KEMENTAH , pasukan ini ditadbir oleh seorang Pegawai dan 10 LLP yang diketuai oleh Kapten H.T Sharif bin Abdul Gaffur. Tiga bulan selepas penubuhannya iaitu pada 9 November 1970, dengan kekuatan seramai 3 Pegawai dan 57 anggota LLP, pasukan ini telah berpindah ke Kem Majidee, Johor Bahru dan kem tersebut menjadi pangkalan pertama 17 RAMD. Pasukan ini telah menerima Pegawai Memerintah pertamanya iaitu Leftenan Kolonel Adam bin Abu Bakar pada 23 November 1970. Pasukan mencapai taraf operasi pada 1 Disember 1970 dan telah diletakkan di bawah naungan Briged Ketujuh Infantri.

 

Pada November 1982, pasukan telah berpindah ke Malaysia Timur yang berpangkalan di Kem Kukusan Tawau, Sabah. Kem ini merupakan pangkalan kedua bagi pasukan. Setelah empat tahun menabur bakti di negeri Sabah, pasukan ini telah berpindah kembali ke Semenanjung Malaysia dan ditempatkan di Kem Terendak, Melaka di bawah naungan Markas Pertama Briged Infantri. Pasukan ini kekal di Kem Terendak dan ditukarkan ke bawah pemerintahan Markas Briged Kesepuluh Infantri Para.

 

Pada 1 Jan 1992, pasukan ini telah menempa sejarah apabila dipilih untuk diubahsuaikan menjadi Batalion Infantri Para dan ia telah dirasmikan oleh Panglima Divisen Kesebelas Strategik iaitu Mej Jen Dato’ Abd Ghani bin Abdullah. Selaras dengan pengubahsuaian itu, pasukan ini telah dinamakan sebagai Batalion ke 17 RAMD (Para) dan diletakkan di bawah naungan Markas Kesepuluh Briged Para.

 

Batalion ini telah dianugerahkan Panji-panji Rejimen pada 13 Ogos 1992 oleh KDYMM Sultan Kedah. Upacara ini telah disempurnakan dengan penuh adat istiadat rejimental. Lt Syed Nasir Al Sagof telah diberi penghormatan sebagai Pegawai Panji-Panji Rejimen pertama 17 RAMD (Para). Bagi menghargai tradisi pasukan, Panji-panji akan dipamerkan pada setiap Hari Ulang Tahun (HUT) pasukan untuk dipertontonkan kepada semua warga pasukan sempena Hari Penganugerahan Panji panji. Pasukan ini telah mencapai tahap operasi sepenuhnya pada 1 Januari 1994. 

SEJARAH PASUKAN
Statistik

    Hari ini                           :     07

    Minggu ini                     :    25

    Bulan ini                        :     32

    Jumlah Keseluruhan    :    1143

 

Bermula pada 17 Feb 2014

bottom of page